Berjuang Sampai Mati I Family

..tiada noktah dalam perjuangan,mati adalah suatu kepastian...


Mata : Glaucoma

Pengenalan

Glaukoma ialah sejenis penyakit mata. Terdapat empat jenis glaukoma yang lazimnya berlaku, iaitu, glaukoma akut/glaukoma sudut tertutup, glaukoma kronik/glaukoma sudut terbuka, glaukoma sekunder dan glaukoma kongenital. Kesemua empat jenis glaukoma ini dicirikan oleh peningkatan tekanan di dalam bola mata. Oleh yang demikian, kesemuanya boleh menyebabkan kerosakan pada saraf optik secara beransur-ansur.

Ketika keadaan saraf optik menjadi bertambah teruk, perubahan turut berlaku pada titik buta dan medan penglihatan yang boleh membawa kepada kebutaan kemudiannya. Semua jenis kebutaan yang disebabkan oleh glaukoma sebenarnya boleh dielakkan jika ianya dapat dikesan lebih awal. Glaukoma tidak boleh disembuhkan, namun dalam kebanyakan kes ia dapat dirawat dengan baik jika rawatan yang tepat diberikan.

Tanda Dan Gejala

Glaukoma Akut/Glaukoma Sudut Tertutup

  • Sakit mata yang teruk
  • Kabur penglihatan
  • Penglihatan tidak jelas dan terdapatnya kesan halo (bulatan cahaya pada sekeliling cahaya lampu)
  • Mata menjadi merah, keras dan sensitif
  • Anak mata hitam (pupil) membesar
  • Loya dan muntah
  • Terasa sakit di dahi atau kepala

** Gejala ini wujud dengan cepat sekali jika ia berlaku di kalangan warga tua, terutama bagi mereka yang rabun dekat.

Glaukoma Kronik/Glaukoma Sudut Terbuka

  • Lazimnya ia tidak menunjukkan sebarang gelaja
  • Pesakit kerap menukar kaca mata tetapi tidak ada satupun yang sesuai.
  • Tidak dapat menyesuaikan mata ketika berada di dalam bilik gelap, misalnya dalam pawagam.
  • Hilang penglihatan secara beransur-ansur.
  • Penglihatan menjadi kabur atau berkabut.
  • Sakit kepala sederhana yang berpanjangan
  • Nampak pelangi- bulatan cahaya berwarna-warni di sekeliling sinar lampu.

Catatan: Selalunya tidak terdapat gejala sehinggalah di peringkat yang telah lewat. Peningkatan tekanan dalam mata berlaku selepas beberapa bulan atau tahun.

Komplikasi

Hilang penglihatan sama ada sebahagian atau sepenuhnya.

Faktor-faktor Risiko

Glaukoma Akut

  • Lanjut Umur
  • Rabun dekat
  • Sejarah keluarga yang pernah menghidap glaukoma
  • Diabetes
  • Tekanan perasaan/stres
  • Penggunaan ubat anti kolinergik sistemik seperti atropin atau ubat titisan untuk membesarkan anak mata.

Glaukoma Kronik

  • Umur melebihi 40 tahun
  • Sejarah keluarga yang pernah menghidap glaukoma
  • Diabetes
  • Rabun jauh

Penyebab biasa Glaukoma

Glaukoma Akut

Apabila umur semakin meningkat, kanta mata akan beransur-ansur menjadi semakin besar menyebabkan sudut di antara iris dengan kornea menjadi sempit. Terdapatnya sekatan fizikal pada laluan keluar bendalir mata menyebabkan tekanan dalam mata meningkat secara tiba-tiba.

Gluakoma Kronik

Terdapatnya sekatan yang tidak normal pada pengaliran cecair dalam mata.

Glaukoma Sekunder

Ianya disebabkan oleh beberapa penyakit mata sistemik dan kesan dari ubat-ubat tertentu (seperti ubat jenis kortikosteroid).

Glaukoma Kongenital

Terjadinya kecacatan pada struktur sudut dalam mata disebabkan oleh keturunan.

Pengurusan

Diagnosis Glaukoma

  • Sejenis alat pengukur yang dinamakan 'tonometri' digunakan untuk mengukur tekanan dalam mata (introkular)
  • Pemeriksaan retina (untuk mengesan perubahan pada cakera optik iaitu mengukur nisbah lekuk yang terjadi pada cakera optik)
  • Mengukur medan penglihatan
  • Ketepatan penglihatan
  • Refraksi atau pembiasan
  • Tindak balas refleks mata hitam
  • Pemeriksaan menggunakan lampu slit.

Pengubatan

Ubat titisan mata dan/atau ubat pil diberi untuk mengurangkan pembentukan cecair dalam mata atau menggalakkan pengaliran keluar bendalir mata.

Pembedahan Laser

Kaedah ini dilakukan bersama penggunaan ubat titisan atau pil.

Pembedahan

Kaedah ini jarang dilakukan kecuali apabila rawatan lain gagal memberi kesan yang dikehendaki. Ia dilakukan untuk memperbaiki pengaliran bendalir mata. Ia juga dilakukan untuk pesakit muda yang menghidapi glaukoma lebih awal dan juga dilakukan ke atas kebanyakan kes glaukoma kongenital.

Langkah Pencegahan

Dinasihatkan mereka yang berumur 35 tahun ke atas menjalani pemeriksaan optalmoskopik dan tonometri setiap 2 tahun sekali. Bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap glaukoma perlu menjalani pemeriksaan mata dengan lebih kerap bagi membolehkan masalah ini dikesan lebih awal.

Cara menggunakan ubat mata dengan betul

  • Basuh tangan dengan teliti kemudian keringkan. Tarik turun kelopak mata dengan menggunakan jari telunjuk supaya terbentuknya kantung kecil pada kelopak tersebut. Titiskan setitik ubat titisan mata ke dalam kantung kelopak mata tersebut. Perlahan-lahan pejamkan mata untuk selama 1-3 minit tetapi jangan menggosokkannya. Ini akan membantu menyerapkan ubat tersebut.
  • Jika 2 jenis ubat digunakan, setiap ubat hendaklah digunakan pada masa yang berasingan sekurang-kurangnya pada jarak 3-5 minit setiap satu (seboleh-bolehnya selama 10 minit) untuk mengelakkan ubat yang dimasukkan lebih awal terlupus.
  • Jangan sentuhkan penghujung botol penitis ubat mata itu pada mata , tangan atau mana- mana permukaan.

Penjagaan Sendiri

  • Menjalani pemeriksaan mata seperti yang di nasihatkan oleh pakar mata.
  • Memahami keadaan pengubatan, langkah-langkah berwaspada, tidak balas dan kesan sampingan ubat yang diambil.
  • Patuh kepada rawatan dan nasihat.
  • Maklumkan kepada doktor jenis ubat yang anda ambil atau gunakan untuk rawatan glaukoma dan apa-apa juga aduan berhubung dengan penggunaan ubat-ubat tersebut.
  • Anda dinasihat untuk memaklumkan kepada doktor jika anda mengalami gejala-gejala yang telah dinyatakan di atas.
  • Jika terdapat sejarah keluarga yang pernah menghidap galukoma, anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan mata setiap tahun.
  • Dapatkan nasihat doktor sebelum anda menggunakan ubat-ubat mata yang lain.

0 Responses to “”

Post a Comment



© 2007 Berjuang Sampai Mati I Family | Blogger Templates by Abu Handzolah.
Artikel yang ditulis adalah satu pandangan peribadi sahaja, tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak atau dipaksa. written by Mohd Razi Musa.